Di belukar itu ada penunggu .. (dalam ekspedisi mencari kupu-kupu)

Habis kerja pada petang khamis lepas, aku terus mencapai kamera ku lalu menuju ke satu kawasan semak di kebun kelapa sawit yang terletak tidak jauh dari bengkel. Dengan penuh minat dan semangat yang berkobar-kobar aku mula meredah kebun yang aku tak tau pun siapa tuannya. Harap-harap akan ku temui serangga yang fotogenik untuk ku rakam. Kalau boleh hari tu aku nak rakam gambar kupu-kupu yang cantik.

Setelah lebih kurang setengah jam aku berjalan melalui laluan berliku-liku serta menempuh ranjau onak duri, badan ku mula berpeluh. Peluh kerja sudah kering, kini peluh meredah semak pula mula membasahi baju ku. Seekor kupu-kupu pun tak jumpa lagi.

"Sabar.. nak jadi jurufoto profesyenal bukan senang", bisik hati kecil ku. (Ceh! Kamera sebesar kotak rokok.. ada hati.)

Aku meneruskan perjalanan, semakin lama semakin jauh ke dalam kawasan semak samun yang tebal dan sunyi sepi. Sekali sekala kedengaran cengkerik mula berbunyi kerana petang mula gelap. Arah matahari semakin condong, hampir sampai waktu ia menghilangkan diri. Kawanan gagak kecil bermata merah juga mula kelihatan di angkasa, terbang pulang ke rumah setelah seharian merayau mencari makan (Biasanya ke pencawang letrik TNB. Kalau tak caya cuba tengok di pencawang utama TNB Sungai Abong selepas maghrib. Ribuan gagak ada di situ).

Tiba-tiba.. bersambung selepas gambar


Hah tu dia! Ada seekor kupu-kupu cantik sekitar semeter setengah di hadapan ku. Tanpa berlengah, dengan segera aku mengambil gambar. Kemudian ku lihat gambar di paparan kamera. Kecik! Jauh sangat jarak aku mengambil gambar kupu-kupu tu. Kena dekat sikit. Nak guna zum kamera ku yang digital zoom tu, bukan boleh harap. Kang gambar kupu-kupu jadi macam gambar daun kering. Aku mesti menghampirinya.

Belum pun selangkah ku bergerak, kupu-kupu berkenaan terbang. Aku hanya mampu memerhatikan, terkebil-kebil melihat ia terbang, terbang dan terbang lalu menghilangkan diri. Aisey!

Aku jadi termangu macam orang kalah judi. Tapi tak lah sampai meratap hiba seperti ditinggal kekasih. Aku cuma merasa agak terkilan kerana satu-satunya kupu-kupu yang ku temui pada petang itu terbang pergi. Tak mahu digambar. Bodoh. Aku nak glemerkan dia, dia tak mau.

Bagaimanapun, aku tak berputus asa, terus mencari dan melihat sekeliling kalau-kalau ada serangga lain yang boleh ku rakam. Aku bergerak lagi, merempuh pohon-pohon renek yang menjadi halangan. Kalau lah aku bawak parang panjang, sah aku tebas pokok-pokok kecil ni untuk membuat laluan.

"Kerosekk, kedebukk.. wolf wolf!!", menyalak seekor anjing terbiar yang tiba-tiba melompat keluar dari semak tebal di sebelah ku, lalu berlari pergi. Phh! Terkejut be.. betul.

Aku lupakan aku punya terkejut, terus melangkah.

Beberapa ketika kemudian kedengaran sayup-sayup suara Azan Maghrib dari masjid berhampiran. "Astaghfirullah, dah maghrib rupanya", aku berkata dalam hati. Leka memburu kupu-kupu hingga terlupa waktu. Amende le (kutuk diri sendiri).

Tak semena-mena pula, terhidu oleh ku satu haruman semerbak yang dibawa oleh angin sepoi-sepoi yang turut menyentuh tubuh serta membelai rambut ku. Siapa pulak yang memakai minyak wangi sedangkan badan ku hanya berbau peluh hangit? Heran, heran.

Teringat pula kata orang tua2, kalau sekali sekala di tempat sunyi berbau wangi terutama pada waktu tengah malam, awal pagi dan bila masuk waktu Maghrib, maknanya di situ ada penunggu. Penunggu digambarkan sebagai satu entiti yang menakutkan dan menyeramkan biarpun ada penunggu yang sekadar menyerupai manusia biasa. Malah ada pula cerita yang mengatakan bahawa ia hanya menyerupai kain putih tersangkut di pokok tinggi dan muncul melambai-lambai hanya pada waktu malam sunyi sepi. Kalau siang tak saspen.

Jam tu juga bulu tengkuk, bulu roma dan semua bulu-bulu di badan ku terasa meremang. Seram!

Kata orang lagi, kalau kita takut, si penunggu tu lagi suka mengusik. Jadi, aku ek normal padahal selain Tuhan, hanya doktor je yang tau betapa lajunya degupan jantung ku jika dia dengar guna stetoskop ketika itu.

Aku masukkan kamera ke casingnya lalu dengan selamba aku melangkah perlahan untuk pulang ke bengkel. Sampai di satu lorong kecil yang melintang dari kebun sebelah, aku berhenti, terpaku kerana bila aku menoleh ke sebelah kanan tadi terlihat oleh ku dua lembaga muncul dan bergerak di lorong berkenaan.. ke arah ku! Kalau lah boleh aku bayangkan dalam coretan ini tapi tak boleh. Paksa-paksa pun tak dapat nak ku bayangkan betapa cemas perasaan ku waktu itu.

Dalam suasana senja yang hampir gelap dan jarak yang jauh, lembaga tu hanya nampak samar-samar. Tak tau pasti apa bendanya. Semakin lama ia semakin hampir dengan ku. Entah macamana aku langsung tak berdaya nak melarikan diri. Lemah lutut. Rasa nak terkencing pun ada.

Aku cuba membaca Ayat Kursi tapi tak berapa nak hafal. Jadi, tercegat la aku di situ sambil mulut ku terkumat-kamit membaca Surah An-Nas berulang kali. Kalau berlaku apa-apa.. lembaga tu nak mencekik aku misalnya, aku akan menjeritkan kalimah "Allahu Akbar" sekuat-kuatnya. Aku hanya mampu berserah kepadaNya. Aku dah standby.

Akhirnya lembaga berkenaan sudah pun dekat dan jelas kelihatan.. Lega!!

Mereka bukan pocong yang terloncat-loncat. Bukan pontianak yang berambut panjang, mata terbeliak, berbibir hitam, bertaring dan berpakaian putih labuh. Bukan, bukan.

Dua lembaga tu adalah orang.. err manusia la tu. Dua orang lelaki. Yang seorang tu pakcik berbaju putih berkain pelikat dan yang seorang lagi pemuda berbaju batik juga berkain pelikat. Lapaangg rasa dada.

"Aduhh, kaget aku wak", aku berkata dalam loghat Indonesia kepada mereka yang sudah pun berada dekat di depan ku. Aku pasti mereka adalah orang Indonesia melihat dari gaya dan cara mereka berpakaian. Mungkin pekerja yang tinggal di rumah kongsi di dalam kebun.

"Iya..?", lelaki berusia enam puluhan itu memberi respon sebaliknya yang pemuda tu hanya monyok je memandang ku. Senyum pun tidak.

Aku bertanya, "Dari mana mau kemana?"

"Dari rumah mau ke sana", lelaki tadi menjawab sambil mengangkat tangan lalu menunjuk hujung lorong kecil di mana kami berdiri.

Kemudian lelaki tersebut pula bertanya, "Ngapain di sini sore-sore begini?"

"Nyari'in kupu-kupu, untuk dipotret", aku menjawab dengan tangan ku membuat gaya orang mengambil gambar. "Tadi lho ada aku nemu. Sekali kok terbang kira-kira mau ku potret", tambah ku lagi. Ewah, macam dailog dalam drama Indonesia aku berbahasa.

"Iya..?", ringkas saja lelaki tersebut berkata. Nampak gaya dia takda mood nak berbual. "Kami permisi dulu", dia berkata lagi lalu dengan tergesa-gesa mereka berdua bergegas pergi membawa bersama bau wangian yang menusuk hidung. Phh, punya lah wangi.

Hanya beberapa detik mereka pergi, hanya sekilas aku menoleh ke arah lain dan menoleh semula ke arah mereka, ku lihat mereka telah tiada. Aikk! Cepat sungguh. Tak dengar pun mereka berlari.

Dengan beredarnya mereka, aku turut memulakan langkah untuk pulang. Kini aku mencuba laluan di lorong yang sama dengan mereka. Mana lah tau kalau-kalau di lorong itu ada jalan keluar dari situ, adalah lebih baik dari aku meredah semak.

Lebih kurang sepuluh meter ku berjalan, lorong sudah pun tertutup oleh pokok-pokok kecil. Jalan mati! Di hujung lorong kelihatan semak tebal mengelilingi sebatang pohon besar.

Dah.. misteri lah pulak. Kemana orang berdua tu tadi pergi? Jalan mana yang mereka lalu? Takda pula kesan laluan di semak. Siapa kah sebenarnya mereka, orang atau ..??!!

Sěěngggg.. sepantas kilat rasa cemas menyelubungi semula bukan hanya di hati malah di seluruh jiwa raga ku. Seram sejuk. Yang jadi lebih saspennya.. bau wangi tadi datang lagi! Tak ada sesiapa pun kelihatan. Hati ku menjadi kecut sekecut asam kecut. Bau wangi semakin kuat. Sah.. mereka tadi tu bukan orang. Hantu!!

Kali ini andrenalin telah menyelinap di seluruh anggota tubuh ku. Aku begitu bertenaga. Telinga ku seakan-akan tidak mendengar apa-apa lagi. Aku terus berlari selaju yang boleh, merempuh, menerjah dan melompat semak samun. Tak terasa. Dzssuub.. bagai angin lalu.

Bagaimanapun, ada sekali tu aku terjatuh menyungkur kerana kaki ku tersangkut tumbuhan menjalar yang melintang di laluan. Takda masa nak tengok ada luka ke tak. Bangun, sambung larian. Yang penting aku cepat keluar dari belukar yang berhantu itu. Hiiiiii.

Kamera? Selamat dalam genggaman ku. Erat, tak lepas.

Di depan bengkel aku tercungap-cungap, membongkok dengan sebelah tangan menongkat beralas lutut dan sebelah tangan memegang casing berserta kamera didalamnya. Terasa pedih. Ku lihat lutut kiri ku calar balar..

- Kisah benar dengan tokok tambah. Sekian dulu.

Gambar kupu-kupu ni ku rakam beberapa minggu lepas. Kat sini lah yang kadang-kadang aku terasa macam aku ni penjinak serangga. 'Insect whisperer' ongputih kata. Apa taknya, aku boleh menghampiri dan menjulurkan kamera dengan jarak tak sampai pun dua jengkal dari kupu-kupu. Dan kupu-kupu tak kesah.

Tengok tu, dia jeling je bila aku ambik gambar. Tak terbang pun. Macam dah kenal.

Post recycle, dari post lama (2015) yang telah dipadam

Ulasan