Temberang kacang

Kisah dulu ..

Dulu, dah lama dulu, waktu aku baru lepas tamat sekolah menengah, aku bercinta dengan seorang gadis yang cukup ayu. Rambutnya kerinting, matanya bersinar-sinar, dahinya macam dahi Siti No Halija dan senyumannya saling tak tumpah macam senyuman Misah Om R. Phieeewuiit.. memang cun kekasih ku itu.

Aku mengenalinya pada satu hari di pekan. Pada hari tu aku cukup bergaya dengan seluar jean slimpit serta baju kemeja masuk dalam dan satu butang atas sengaja tak ku pasang. Dengan bermotosikal seorang diri aku ke hulu ke hilir di pekan.

Ketika lalu berhampiran hentian bas dengan tak semena-mena motosikal ku meragam, tak boleh bergerak ke hadapan walaupun enjinnya masih hidup. Betul-betul di depan hentian bas, motosikal tu terhenti. Aku menoleh dan melihat ke bawah, laa.. rantai terlucut. Aku toleh ke kiri dan ku lihat tiga orang gadis duduk di situ menunggu bas, memerhatikan. Alahai malunya.

Bagaimanapun, aku ek normal, tongkatkan motosikal dan mula la aku menggodek-godek rantai untuk memasangnya. Sesekali mata ku menjeling ke arah gadis-gadis berkenaan di sebalik kacamata Re Ben (bukan Ray-Ban) yang ku beli di pasar malam seminggu sebelum itu.

Tiba-tiba, "Aiieeeeeek!", bukan suara aku tapi suara salah seorang dari gadis bertiga yang menjerit terkejut kerana motosikal ku tumbang. Haa.. itu lah kekasih ku yang nak aku ceritakan ni. Namanya tak boleh la nak beritahu. Rahsia. Biar aku perkenalkan kekasih lama ku yang comel tu sebagai A.

Tidak seperti gadis berdua yang duduk selamba je, A menghampiri ku dan membantu aku mendirikan motor yang telah menindih kasut Bata ku yang biasanya aku gunakan untuk bermain sepak takraw. Sakit juga rasa kaki ku tapi aku buat dek aja.

"Lain kali hati-hati, kan sakit kaki tu kena timpa", A bersuara sambil tersenyum. Mak aai, manisnya senyuman.

Baik makwe ni, hati ku berbisik. Walaupun aku tengok gaya pakaiannya tomboy sikit tapi suaranya, hai malas nak cerita la.. kalah petikan gitar Man Kidal ku rasa.

"Te.. te, teriiima kasih la ye", aku tergagap berkata. Entah kenapa, perkataan semudah itu pun tak selancar David Arumugam aku menyebutnya. Lidah ku menjadi kelu, begitu juga kaki dan tangan ku. Kekok tak tentu pasal.

Kemudian A bertanya,"Kenapa motor abang? Rosak ke?" Dah.. dia panggil aku abang pulak. Budak cantik yang lebih kurang sebaya aku, panggil aku abang. Wah! Bangga sungguh dan teramat perasan le aku di saat itu.

"Err, rantainya asyik terlucut, tak tau kenapa", aku menjawab.

"Motor dah buruk, mintak ganti yang baru tu", begitu lah A membalas jawapan ku, seakan-akan menyindir pula.

"Eh, ini bukan motor saya, err.. tukar pakai dengan kawan. Motor saya ar ek zek", aku yang terasa direndahkan mula temberang kacang. Padahal itulah satu-satu nya motosikal yang aku ada alias bapa ku punya. Ini yang aku tengah risau, motosikal dah buat hal sedangkan esok bapa ku nak pakai bawak pergi noreh. Mmm .. takpa lah, nanti aku betulkan.

Sessi perbualan aku dengan A berlarutan setelah aku tongkatkan motor dan berdiri bersandar di tiang bersebelahan dengannya yang duduk di tempat duduk hentian bas berkenaan. Aku tanya nama dia, dia tanya nama aku. Dia tanya berapa orang adik beradik ku, aku pun tanya begitu kepadanya.

"Ada kakak tak?"

"Ada.. awak?"

"Ada.. sape nama kakak?"

Pendek kata, dia pun berminat nak mengetahui tentang latar belakang ku, sehingga nama atuk aku pun dia nak tahu.

Ada le lebih kurang setengah jam aku berbual dengannya. Leka. Hampir lupa rantai kapcai ku belum pun ku pasang. Yang dia, bas dah lalu pun tak perasan. Ku lihat gadis yang berdua tu dah takda. Entah bila diaorang pergi, pun langsung tak ku sedar.

Perbualan kami pada petang itu berakhir apabila dia menaiki teksi untuk pulang ke rumah.

Aku lantas menolak motor ku ke bengkel motor yang lebih kurang 200 meter dari situ. Tukar rantai, tukar sprocket sebab pomen bengkel tu kata dah tak boleh pakai. Entah ya entah tak tapi aku terpaksa ikut cakap pomen yang juga tauke kedai motor tu. Bayar, baki duit termasuk duit syiling dalam kocek, tinggal tiga ringgit dua puluh lima sen. Dengan duit baki tu aku ke kedai buku beli writing pad dengan envelop.. apa lagi, nak tulis surat.

Nama dan alamat rumah A yang tertulis di atas kertas tisu, ku simpan rapi di dalam dompet. Waktu itu, mengirim surat ada lah satu-satunya cara untuk aku menghubungi A. Nak telefon, di rumah ku takda telefon, begitu juga di rumah A. Henfon? Dulu mana ada henfon. Apatah lagi nak email.. jauh sekali. Punya lah jahilnya aku dulu, tetikus tu pun aku ingat sejenis binatang.

Malam itu aku menulis surat pertama ku kepada A. Lebih seminggu kemudian, surat balasan dari A ku terima. Wangi.

Sejak itu kami sering berutus surat dan beberapa kali berjumpa di pasar Rabu, makan ayam percik atau kekadang makan rojak di warung mamak. Pernah juga aku membawa A bersiar-siar ke bandar dengan menaiki 'motor kawan ku' walaupun ketika itu aku belum pun mempunyai lesen.

Hasil perhubungan kami yang begitu rapat, maka tumbuh lah benih-benih percintaan yang tak dapat dilihat oleh mata kasar seperti biji benih kelapa sawit ♥♥♥♥. Aku menjadi perindu, merindui A. Kalau tak jumpa, sehari bagai setahun. Bayangkan lah kalau seminggu.. bagai tujuh tahun aku tak jumpa A. Memang dahsyat kesan bercinta, pertimbangan masa pun dah tak betul.

Masih aku ingat lagi, surat tiga keping ku tulis dengan penuh perasaan untuk mencurah segala isi hati sampai takda yang ketinggalan sikit pun. Empat hari aku simpan surat tu di bawah bantal sebelum aku poskan. Seperti menunggu keputusan peperiksaan, begitu juga lah rasanya menunggu jawapan dari A.

Pada satu hari, lebih kurang pukul 11.00 pagi, datangla posmen menghantar surat. Belum sempat posmen tu beredar, aku sudah pun membuka surat yang ku terima, punya lah tak sabar. Aku dah agak dah, surat tu datang dari A. Betul.

Ku baca di halaman depan rumah. Tak banyak yang A tulis, tapi dia ada kata;

'Bang Jenin, Yah rasa terharu, tak terkata-kata. Sesungguhnya Yah juga amat menyayangi Bang Jenin'.

Zzzzt!! Badan ku bagai terkena kejutan letrik, berjalan tak terasa. Entah bila aku melangkah tangga, tahu-tahu dah berbaring di atas katil.

Aku gembira, terlalu gembira. Aku tak sedar seharian kegembiraan terpancar di muka ku sehingga mak ku menegur sepulang nya aku dari kebun memungut kelapa, "Dari tadi mak tengok kau senyum sendiri tak sudah-sudah. Engkau ni dah terkena sampuk kat kebun ke tadi Mat?" Laa..

Tapi sayang.. hubungan kami tak berpanjangan. Lebih kurang tak sampai dua tahun, kami berpisah. Ikatan cinta kami berkecai, bagai pinang dibelah kapak tumpul. Dia ditunangkan dengan anak orang berada. Sama lah dengan cerita-cerita cinta yang biasa kita dengar, begitu lah yang menimpa diri ku. Sedih. Cuma aku takda beca. Kalau lah aku ada bawak beca, sebijik sedihnya kisah ku ini macam cerita Penarik Beca lakonan Alahyarham Tan Sri P. Ramlee tu.

Berbulan-bulan aku merana, tidur tak lena tetapi kenyang bila makan dan tak basah cuma bila tak sedang mandi. Begitu juga dengan mata ku, takda masalah. Tapi aku terasa dunia ni gelap. Fikiran ku buntu, dada ku sebak.

Gambar hiasan
Jam tu lah aku berangan jadi Superman untuk menipu jiwa ku yang tak menentu agar bersemangat semula. Aku akan mendapatkan A. Kalau tunangnya menghalang, aku jentik aje telinga dia.. hek eleh, tersungkur. Tu baru aku jentik sikit. Kemudian aku bawak A terbang jauh.. padan muka. Dulu dia rampas kekasih aku, nah sekarang aku rampas tunang dia.

Tapi.. itu hanya angan-angan kosong yang mustahil menjadi nyata. Aku takkan boleh jadi Superman. Jangankan kekuatan, seluar dalam merah pun aku tak punya. - Apesal le Superman pakai seluar dalam kat luar ..

Masa terus berlalu. Saat berganti minit. Minit berganti jam. Jam berganti-berganti sehinggalah menjadi bulan. Tetapi belum sempat bulan menjadi tahun, aku telah bertemu dengan B iaitu pengganti A. Biarpun nama A masih bertenggek di hati ku, aku harus berpijak di bumi nyata dengan menerima hakikat bahawa A telah menjadi hak orang lain. Aku juga harus menggigit benda lain dari hanya menggigit jari.

Kisah aku dengan B bermula pada satu hari, sepulangnya aku dari kebun dan lepak-lepak di anjung rumah. Sebenarnya aku malas nak ke kedai pada tengahari tu. Tapi dah mak aku saun, "Cepat le Mat, mak nak masak ni. Kau cepat pergi beli. Kang ayah kau takda selera nak makan."

Hai, sama je macam iklan yang kini kadangkala kedengaran di radio, "Kalau takda kicap Jalen, saya pun tak lalu makan." - Maaacam tu la bapa ku. Tapi dalam kes bapa ku.. belacan. Takda sambal belacan memang bapa ku kurang selera makan. Jadi, mau tak mau terpaksa aku ke kedai.

Tiba saja di Mini Market MD yang terletak sekitar setengah kilometer dari rumah ku, aku pun meletakkan kapcai ku bawah pokok di depan kedai berkenaan.

Semasa aku berada di dalam kedai tersebut, aku sedar ada seorang gadis yang turut berada di situ asyik memerhatikan aku. Tersengih-sengih pulak tu tapi aku buat tak tahu. Agaknya dia tengok sebab aku hensem serta macho, fikir ku. Biar lah.

Setelah mengambil sebungkus belacan dan membayar di kaunter, aku pun keluar dari kedai untuk segera pulang ke rumah.

"Hei Mat!" tiba-tiba gadis tadi yang nampaknya sengaja menunggu di tepi pintu kedai, menegur ku. Aku berhenti melangkah. "Kau tak kenal aku lagi ke?" Dia bertanya.

"Hah, sape dia ni?" Aku bertanya dalam hati. Tengok gaya macam artis pulang bercuti di kampung. Cantik orangnya, memakai kasut bertumit sederhana tinggi, berseluar jean baggy dan memakai t-shirt putih ada gambar Snoopy.

Aku renung wajahnya. Dia yang menunggu reaksi ku, tersenyum. Tiiinggg! (kesan bunyi dari filem kartun).. baru aku teringat dan kenal benar pemilik senyuman itu, terus ku bertanya, "Eh, Ella Bulat ke ni?"

"Haa la! Sombong kau, tengok aku pun buat tak kenal", jawab gadis yang pernah sekelas dan sering bertengkar dengan ku waktu di sekolah dulu.

"Ye la, aku betul tak kenal. Betul!"

"Err.. bila kau balik sini?" tanya ku lagi.

"Dua hari dah. Mak bapak aku hantar. Diaorang dah balik JB tapi aku tak ikut. Aku nak duduk kampung la Mat", katanya.

"Iya? Biar betul.."

"Yaa, sungguh. Aku tak bohong."

"Ewahh, cun la kau sekarang, macam pergawati", aku mengubah tajuk lalu tersengih.

"Mengada", dia ringkas membalas.

Well.. dia ni lah B, pengganti A yang bakal ku kisahkan seterusnya.

Dipendekkan cerita, pada petang tu B ke rumah ku dengan berjalan kaki saja. Bukan perkara asing buat B, dari kecil hingga lah ke belasan tahun B memang biasa datang ke rumah ku. Kakak ku yang baru berkahwin dan telah menetap di Kluang, dulu akrab dengan B. Pada penghujung tahun ketika kami berada dalam tingkatan empat, B berpindah ke Johor Baharu mengikut kedua orangtuanya. Tinggal lah Wak Seman laki bini berdua di rumah yang terletak hanya selang dua buah rumah dari rumah ku. Dah bertahun lamanya aku tak bertemu B.

Tidak seperti bapa ku yang biasa-biasa saja, emak ku begitu gembira menerima kedatangan B. Dia seperti tak percaya gadis bertubuh langsing tu cucu Wak Seman yang sering ke rumah dulu. Ketika B berada di dapur menolong emak ku menggoreng keropok, aku dengar dua tiga empat kali emak ku mengulangi ungkapan yang sama kepada B, ".. dulu kau geeemmok betul." Amende le mak aku tu. Tersipu-sipu B aku tengok..

- Rasanya sampai di sini dulu yang dapat ku ceritakan secara terperinci. Panjang beno la ceritanya. Penat kang jari aku nak naip. Aku sambung secara ringkas. –

Bagaimanapun, hubungan kami juga tak kekal lama. Selepas aku dan B berpisah kerana asyik kerja bertengkar, bertemu aku dengan C. Tapi aku pulak yang tak dapat menerima C kerana kami berdua macam lah dalam lagu Anak Singkong. "Selera kita terlalu jauh berbeda", kata lagu tu. 'Aku hanya anak singkong'.

Tak lama selepas aku putus hubungan dengan C, bercintan lah aku dengan D, lepas tu E dan kemudian tukar pulak dengan F. Phh.. playboy aku. Sampai dengan G, stop, yang last. G sekarang dah jadi ibu kepada empat orang anak ku. Nak kata apa .. jodoh lah katakan.

Dah, kita dengar lagu.



Catatan recycle (2011). Cerita, ada yang temberang ada yang benar.

Ulasan