Anu

Dalam bahasa Melayu ada satu perkataan yang istimewa dan banyak digunakan di dalam bahasa pasar atau di dalam perbualan seharian. Perkataan tersebut ialah 'anu'. Ianya biasa digunakan sebagai ganti nama atau ganti apa-apa pun dalam percakapan kita. Kita boleh mengeksploitasi perkataan 'anu' untuk memberi tempoh kita berfikir atau mencari helah dalam beberapa saat, contoh, "Anu.. anu.. saya anu lah.. saya sakit perut, tak boleh pergi menonton wayang bersama awak."

'Anu' juga boleh diletak sebagai sesuatu atau perkara yang kurang jelas. Biasa digunakan untuk tidak terang-terangan menyatakan, contoh, "Si anu tu dah anu dengan si anu."

Nyata sekali 'anu' amat luas penggunaan nya dalam perbualan kita terutama dalam perbincangan di antara ahli mesyuarat tingkap di anjung rumah atau di warung kopi bercerita hal politik. Dengan terselit 'anu' dalam ayat kita, apa pun kita boleh luahkan: "Menteri anu tu dah anu. Dah tau jadi menteri tu nak anukan rakyat, anu lah sikit. Ini tak, kalau ada projek besar anu-anu dia yang dapat. Kejap jalanraya anu lah, jambatan anu lah, bangunan anu lah, anu sana, anu sini." Nah! Fakta nya kabur tapi dengan bantuan 'anu' kita boleh bercakap dengan penuh yakin.

Akan tetapi perlu diingat, perkataan 'anu' sangat lah tidak sesuai digunakan dalam perbicaraan mahkamah.

- Ditulis oleh anu untuk anu-anu sahaja.

Ulasan