Malam itu aku berlatih bermain gitar bersama kawan-kawan di rumah Bagong. Leka, tak sedar jam sudah menunjukkan hampir pukul 1 pagi. “Wah, dah pagi ni,” fikir ku lalu mencadangkan untuk bersurai dan mereka bersetuju. Kami meninggalkan rumah Bagong untuk pulang ke rumah masing-masing yang berada di sekitar situ sahaja, hanya aku seorang yang agak jauh ke pedalaman
.
Sebenarnya aku seorang yang penakut, takut untuk berjalan malam seorang diri tapi demi minat ku, aku cuba mengenepikan semua itu. Boleh dikatakan hampir setiap malam minggu aku pulang lewat.
Dalam perjalanan pulang dari Pekan Parit Yusuf ke rumah ku yang sejauh 6 batu itu, aku sentiasa membaca surah An Nas di dalam hati. Semasa hampir di simpang Kampung Parit Masjid, aku lajukan sedikit motor kapcai ku kerana di tepi simpang tu ada tanah perkuburan. Banyak cerita yang menyeramkan berlaku di situ tapi aku cuba buat tak ingat. Suasana malam yang sepi dan sejuk tambah membantutkan berani ku, hanya takut menghimpit perasaan. “Brrrrrr..” bunyi motorsikal ku melepasi simpang itu dengan tak ada apa-apa berlaku, lega.
Setelah beberapa minit sampai lah aku di halaman rumah dengan selamat. Aku segera mematikan enjin motorsikal. Gelap. Lampu di anjung rumah sudah terpadam. Hanya cahaya lampu ruang tengah samar-samar kelihatan di cermin tingkap. Kedengaran suara cengkerik saling berganti berbunyi.
Kini ada satu hal lagi yang aku takutkan.. aku takut bapa ku akan memarahi ku dan membebel kerana aku pulang lewat. Semua orang tahu, bapa ku seorang yang garang dan bersuara kuat. Kalau dia marah nanti, mau terjaga orang satu kampung. Dengan perlahan serta berhati-hati aku meletakkan motorsikal lalu berjalan terjenket-jengket macam Mr. Bean. Aku seluk tangan ku, membuka pintu yang hanya di selak dari dalam. Tutup saja pintu, aku terus ke bilik air untuk membasuh kaki dan muka. Masuk bilik lantas duduk di atas katil. Ah, lega lagi.. bapa ku tak terjaga. Letak saja kepala di atas bantal, aku segera tertidur kerana terlalu mengantuk.
Pada pagi itu aku terjaga kerana ibu ku yang sudah siap bertelekung untuk ke masjid, masuk ke bilik ku, mungkin hendak mengambil sesuatu. Aku memejamkan mata untuk menyambung tidur. Seketika kemudian aku terjaga semula kerana aku terasa sesuatu menyentuh tangan ku.
Gambar hiasan. |
Aku hanya mampu memejamkan mata lalu terdengar seperti suara perempuan tua.. “Ke.. naa pa?” Anggota ku menjadi kaku tak berupaya sekali pun untuk mengangkat tangan walaupun aku mencuba sedaya-upaya. Tak tahu berapa lama aku meronta dengan mata terpejam. Badan ku terasa lemah tak bermaya. Ketakutan ku hampir sampai ke penghujungnya, mula timbul rasa marah.
Beberapa ketika kemudian aku terasa boleh bersuara, aku terus menjerit, "ya Allah!” Dan aku lihat lembaga itu telah tiada lagi. Aku boleh bergerak.. tanpa berlengah lagi aku melompat dari katil dan keluar dari bilik dengan pantas.
Kedua ibubapa ku turut terjaga kerana jeritan ku. Mereka keluar dari bilk. “Kenapa kau menjerit tengah malam buta ni?” bapa ku bertanya. Aku yang masih berada tak jauh di depan pintu bilik ku, hanya terpinga-pinga. “Kau mengigau ke?” sampuk ibu ku pula. Aku mendiamkan diri dan terus ke ruang depan. Hidupkan semua lampu dan duduk di kerusi. Ibu ku menghampiri dan bertanya lagi, "Ada apa tadi?” “Takda apalah mak,” jawab ku. Bapa ku tidak berkata apa-apa lagi melihatkan wajah ku yang mencerminkan kepenatan dan ketakutan." Dia hanya menggelengkan kepala dan mengeluh. Ibu ku berkata dengan suara yang perlahan, seakan-akan berbisik dengan bapa ku. Terdengar bapa ku menjawab, "Ah, mengigau tu." Tak berapa lama kemudian kedua orangtua ku masuk semula ke bilik tidur.
Ku lihat jam baru pukul 4.15 pagi. Aku yang masih trauma terus duduk di kerusi dengan mata terkebil-kebil cuba menenangkan perasaan. Sampai waktu subuh, aku turut bersama ibubapa ku bersembahyang di masjid yang tak jauh dari rumah ku (tidak biasanya).
Peristiwa ini benar berlaku pada diri ku beberapa tahun dahulu. Sehingga kini di kala teringat, aku masih tertanya.. siapa kah yang bertelekung itu?
Ulasan