Kenapa kita ketawa

Gambar hiasan

Kini terdapat sekitar 8 bilion manusia yang hidup di muka bumi (World population to reach 8 billion on 15 November 2022). Kita dibezakan oleh bangsa, ugama, darjat, fahaman politik, gaya hidup, gaya pakai seluar, stail rambut dan berbagai-bagai lagi dari sudut lain yang membolehkan kita membezakan di antara manusia sesama manusia. Tapi kita semua punya satu persamaan – kita ketawa. Kenapa?

Baik, kita mula dari awal. Anda akan melihat bayi yang baru saja dilahirkan, menangis serta-merta. Banyak menangis sebenarnya. Seterusnya bayi yang sama tidak mula ketawa sehingga lah berumur empat atau lima bulan (ada juga pendapat yang mengatakan bayi boleh mengeluarkan suara ketawa berumur seawal 17 hari). Kegembiraan, suara seronok bayi ketawa terkekeh-kekeh adalah percubaan untuk berkomunikasi dengan ibunya. Atau mungkin dengan sekumpulan makcik-makciknya yang bergilir dengan seronok menggedongnya. Dan itu adalah pokok persoalan kenapa kita ketawa – kita cuba berkomunikasi.

Contoh, (anak babun) ketawa.
Haiwan primat seperti gorila atau monyet juga ketawa. Jika anda menggeletek gorila.. err, bukan saya mencadangkan anda menggeletek gorila. Tapi jika anda berjaya berbuat demikian tanpa memeranjatkan gorila, gorila akan ketawa biarpun tak sama seperti ketawa kita. Ia berkomunikasi. Kecenderungannya untuk bermain sama sebagaimana kanak-kanak.

Yang sebenarnya sebagai kanak-kanak berumur diantara lima hingga enam tahun .. ketika itu lah kita paling banyak ketawa, 300 hingga 400 kali sehari berbanding orang dewasa yang hanya sekitar 20 kali sehari. Ini adalah kerana segalanya baru, segalanya menarik, segalanya menggelikan hati dan lucu. Apabila umur kita meningkat kita mula menjadi sinis, mula tau marah, merasa kecewa dan tidak banyak sikit kita telah merasai perasaan dukacita. Ketawa kita pun berkurangan.

Di usia dewasa, ketawa juga digunakan sebagai perekat sosial. Jika anda menonton sitkom kegemaran anda seorang diri, anda mungkin hanya tersengih dan ketawa sedikit bila ia melucukan. Tapi jika anda menonton bersama beberapa orang lain yang ketawa, anda akan dapati ketawa tu berjangkit. Ketawa yang anda kongsi di dalam situasi bersosial dikatakan lebih 30 kali berbanding jika anda seorang diri. Malah ada pendapat yang mengatakan bahawa gas ketawa menjadi lebih berkesan jika anda berkongsi bersama orang lain.

Apa yang sebenarnya membuat kita ketawa juga bergantung kepada tahap humor dan citarasa komedi masing-masing. Adapun kadangkala kebanyakkan orang dewasa ketawa ke atas perkara yang bukan lucu. Kajian pernah dilakukan oleh pengkaji sains ketawa (ahli gelotologi), di mana dalam jangkamasa 10 tahun mereka telah mencuri dengar sekitar 1,200 orang ketawa di pusat membeli-belah di Amerika Syarikat. Kebanyakan ketawa, mereka dapati, mengikuti kenyataan yang tidak humor dan bukan bahan lawak. Ketawa demikian menjadi satu bentuk titik tanda percakapan di akhir perkataan. Ia adalah satu cara orang menjalin ikatan perhubungan. Sekadar ketawa ramah, mungkin begini contohnya: "Hei Mat! Lama tak jumpa. "Eh yelah. Lama kita tak berjumpa hehehe"

Bagaimanapun, ada juga ketawa yang boleh menyakitkan hati orang lain iaitu ketawa mengejek yang sengaja dibuat-buat. Jangan lah kita buat. Ketawa adalah reaksi luar kawal atau 'involuntary reaction', ongputih kata. Jadi, kelihatan amat janggal kalau kita buat-buat ketawa (kecuali lah jika anda seorang pelakon serba boleh).

Ketawa yang tulen mampu merangsang otak kita melepaskan endorphins dan dopamine, kimia yang membuat kita rasa selesa. Kimia-kimia ini mempunyai kesan yang berfaedah. Ia mampu menurunkan tekanan darah sekali gus mengurangkan tekanan perasaan. Ketawa juga membantu perkembangan sel-sel yang menghasilkan antibodi dan meningkatkan keberkesanan sel-T, yang membawa kepada sistem imun yang lebih kuat.

Biasanya setelah kita ketawa berdekah-dekah di panggung wayang atau semasa berborak bersama kawan-kawan, kita akan merasa lega tetapi juga terasa agak letih. Ini memang sepatutnya berlaku kerana ketawa seolah-olah melakukan satu senaman. Otot-otot di muka menegang. Begitu juga di belakang, di perut dan di kaki. Ia juga melibatkan sistem pernafasan. Satu kajian mendapati 100 kali kita ketawa sama dengan 15 minit kita mengayuh basikal senaman. Aii.. tak sangka.

Akan tetapi, jangan lah pulak nanti anda sengaja mencari bahan lucu untuk ketawa atas alasan hendak bersenam .. kerana ketawa bukan hanya satu perkara yang seronok sahaja. Ada juga fenomena serta pandangan negatif tentangnya. Ketawa yang berlebihan boleh membawa kepada cataplexy, bahan ketawa yang kurang menyenangkan, kegembiraan melampau dan sawan ketawa di mana seseorang itu ketawa tak kena pada tempatnya. Semua ini boleh dianggap sebagai aspek-aspek negatif ketawa. Ada yang percaya bahawa ketawa mewakili satu bentuk epilepsi.

Menurut pandangan Islam, ketawa tidak boleh berlebih-lebihan kerana hukumnya makruh. Kepada yang nak melawak pun ada batasnya. Rasulullah SAW bersabda, maksudnya: “Celakalah orang yang berbicara lalu mengarang cerita dusta agar orang lain tertawa. Celakalah!” (HR Abu Daud). Fikir-fikirkan.

Pemikir terkenal zaman Yunani, Aristotle dan Plato berpendapat kuasa ketawa boleh melemahkan pihak pemerintah. Mereka juga percaya ianya boleh menumbangkan sesebuah negara. Mmm.. janganlah kita ketawa dengan hal-hal yang melibatkan pemerintah negara kita .. sebab kita rakyat semua juga punya karenah dan masalah masing-masing. Kalau kritik, beri kritikan secara lantang, yang ada point mewakili rakyat dan membina. Jangan menyindir sahaja, biarpun sindiran kadangkala menguatkan hujah (?). Disuruh mengundi, kita mengundi. Kan, sekarang kita dah ada pucuk pimpinan yang baru.

- Di mana saja ada orang yang lucu bercakap lucu, orang yang tak lucu bercakap lucu, orang yang lucu bercakap tak lucu, dan ada orang yang serius je, tak lucu bercakap tak lucu. Biar apapun, ada kalanya memang susah kita nak ketawa.

Ketawa kita? Hahahaha

Post recycle, diedit semula dari post lama yang telah dipadam. Fakta tentang ketawa dipetik di Wikipedia, Youtube dan beberapa laman web lain.

Ulasan