Bank-bank akan laksanakan lima langkah utama BNM untuk tangani penipuan kewangan

Gambar : BERNAMA.com

KUALA LUMPUR, 27 Sept (Bernama) --Tiga persatuan mewakili industri perbankan tempatan menyokong penuh lima langkah utama untuk memerangi penipuan kewangan seperti yang diumumumkan oleh Bank Negara Malaysia (BNM).

Langkah-langkah penting itu diumumkan oleh gabenor BNM, Tan Sri Nor Shamsiah Mohd Yunos pada pelancaran Pameran Jenayah Kewangan semalam (26 September).

Dalam satu kenyataan bersama hari ini, Persatuan Bank-Bank Dalam Malaysia (ABM), Persatuan Institusi Perbankan dan Kewangan Islam Malaysia (AIBIM) dan Persatuan Institusi Kewangan Pembangunan (ADFIM) berkata industri perbankan mengakui bahawa perlaksanaan langkah-langkah ini membawa perubahan dalam pengalaman perbankan dalam talian dan harapan pelanggan.


" Lima langkah utama termasuk bertukar daripada penggunaan kata laluan satu kali SMS (OTP) kepada kaedah pengesanan yang lebih selamat seperti melalui perisian pengesahan pelbagai faktor yang selamat atau token perkakasan untuk urus niaga tertentu.

Urus niaga ini termasuk pemindahan dana dan pembayaran, perubahan maklumat peribadi dan tetapan akaun.

Langkah lain termasuk mengetatkan peraturan pengesanan penipuan bank dan tindakan untuk menyekat urus niaga yang mencurigakan, pengesahan dan tempoh bertenang untuk pendaftaran kali pertama perkhidmatan e-perbankan atau peranti selamat serta mengehadkan pengesahan urus niaga perbankan elektronik kepada satu peranti mudah alih atau peranti selamat bagi setiap pemegang akaun.

Akhir sekali, bank juga akan mempunyai saluran/talian aduan khusus yang beroperasi 24 jam sehari, tujuh hari seminggu untuk pelanggan melaporkan insiden atau mensyaki berlaku penipuan .. "


- Lihat lebih lanjut di BERNAMA.com

Ulasan