Cerita Ramlan dan Mamat Minyak Masak

- Cerita ada sikit 18sx dan melalut. Baca dengan risiko sendiri. -

Hampir pukul satu setengah pagi, belum ada apa-apa lagi. Ramlan masih menunggu dengan sabar. Lampu suluh yang diisi dengan tiga beteri baru tersedia di tangan kanannya.

Sekali-sekala dia teringatkan kisah perkahwinannya. Berbangga sangat lah Ramlan, dapat menikahi Rusilah, baru tiga bulan. Tak pernah berbual apatah lagi bercinta sebelum berkahwin.

Hampir lima tahun Ramlan 'syok sendiri' dengan Rusilah, sejak gadis yang tinggal di kampung bersebelahan itu tamat SPM. Setahun kebelakangan, Ramlan semakin menjadi-jadi 'perasan'nya. Sering di waktu petang, Ramlan akan berpakaian kemas, menunggang motosikalnya dengan perlahan, melalui hadapan rumah Rusilah. Kalau datang dia punya gila, 3-4 kali sehari, lalu di hadapan rumah gadis impiannya itu. Beruntung besar rasanya dapat melihat Rusilah yang kekadang berada di anjung atau sedang menyapu sampah di halaman rumah. Kalau Rusilah tak kelihatan, tengok bumbung rumahnya pun jadi.

Pernah sekali, Ramlan hampir terbabas kerana gugup.. terserempak Rusilah berdiri di tepi jalan, hendak menyeberang. Itu lah kali pertama mereka betul-betul bertentang mata. Rusilah tidak senyum tidak masam, biasa saja. Kalau lah hari itu Rusilah senyum, mau di situ juga Ramlan terjatuh dari motosikal.

Rusilah, anak ketiga dari lima orang adik beradik, memang gadis cantik. Anak cikgu sekolah agama itu sudah dua kali menolak pinangan, membuat Ramlan merasa was-was untuk memberitahu kedua orang tuanya akan hasrat hati yang tak tertahan lagi.

Bagaimanapun, Ramlan yang hampir ke tiga puluh tahun umurnya, meyakinkankan diri lalu menyatakan keinginannya untuk berkahwin. Tanpa sebarang bantahan, pada malam itu juga kedua ibubapanya berjanji akan menghantar orang merisik.

Berita gembira diterimanya sebulan selepas itu, pada satu petang. "Pinangan kau dah diterima. Enam bulan lagi kau kahwin, takyah lama-lama. Mak dah aturkan," ibunya memberitahu. Wow! Ingin saja dia melompat setinggi yang boleh. Hatinya girang, senyum memanjang.

Sampai masa, dia pun diijabkabulkan. Majlis dibuat secara besara-besaran, maklumlah, Ramlan anak bongsu. Kedua kakaknya sudah pun berkahwin. Saudara-mara serta kenalan, penduduk sekampung dan penduduk beberapa kampung berdekatan turut dijemput menghadiri majlis perkahwinannya.

Setelah lebih-kurang dua bulan Ramlan menjadi raja sehari, dengan restu kedua orangtuanya, Ramlan dan isterinya berpindah ke rumah baru, sebuah rumah papan sederhana besar yang ditukang sendiri, sedikit demi sedikit setahun lalu dengan bantuan pakchiknya, Pak Dollah, seorang tukang kayu.

Tapi Ramlan merasa hairan, sejak dia tinggal di rumah barunya itu, sering kedengaran bunyi di luar rumahnya pada waktu malam. Kadang-badang bunyi ranting patah, bunyi daun bergoyang dan kadang-kadang bunyi seperti orang berjalan.

Rumah Ramlan berada di kawasan yang sunyi, terutama di waktu malam. Rumah jiran terdekat terletak lebih 500 meter dari rumahnya. Biarpun berada di kawasan pedalaman, rumahnya mendapat bekalan elektrik dan bekalan air. Ramlan tiada pilihan. Itu lah satu-satunya tanah yang dimilikinya, kebun kelapa sawit seluas lapan ekar pemberian bapanya. Lumayan juga.

Malam ini Ramlan dah nekad. Apa nak jadi, jadilah. Dia mesti tahu apa bendanya yang berbunyi. Hantu ke? Sejak pukul 12.30 malam dia menunggu di tepi sebatang pohon sawit di belakang rumahnya, berbekalkan sebilah parang pendek dan lampu suluh.

Ramlan merahsiakan rancangannya. Semasa dia keluar melalui pintu dapur tadi, isterinya sedang lena di bilik dengan lampu terpadam. Hanya lampu anjung dihidupkan, samar-samar menyinari halaman depan rumah. Suasana malam cukup sunyi, gelap dan rimas. Bintang tak kelihatan, mungkin nak hujan.

"Biasanya waktu ni la ada dengar bunyi," fikir Ramlan sambil mencangkung. Matanya melingas kesana kemari. Tepat jangkaannya, selang beberapa ketika muncul kelibat satu lembaga dari kebun sebelah, menuju ke rumah dan merapat ke dinding biliknya. Dengan perlahan dan secara senyap Ramlan segera menghampiri lembaga tersebut. Perasaannya berdebar-debar tetapi dia tetap memberanikan diri. Darah muda mengalir, menguasai tubuhnya. Parang pendek digenggam erat, lampu suluh sedia untuk menyuluh.

Bila terasa cukup hampir dia pun menyalakan lampu suluhnya yang terang tepat ke arah lembaga. Hah.. Mamat! Berbaju kurung dengan kain sarung terselempang di bahu serta tidak berseluar. Tangan kiri memegang botol kecil minyak masak dan tangan kanannya.. menggenggam alat kelaminnya yang tegang!

"Hei! Apa hal kau ni Mat?" Ramlan menyergah. Mamat yang terjatuh malu teramat sangat tidak mampu berkata apa-apa. Mukanya 'toya' saja, matanya terkebil-kebil silau dek lampu suluh Ramlan. Perbuatannya yang 'unik' selama ini dah diketahui. Melarikan diri pun tak guna, Ramlan dah nampak. Dia segera melepaskan botol, melorotkan kain sarung dari bahu lalu memakainya. 'Burung' Mamat yang tadinya tegang di selaputi minyak masak turut tunduk, terkejut juga barangkali.

"Agaknya ini kerja kau, bila malam je kau ke sini. Kau takde keje lain ke?" Ramlan berkata dengan nada keras tapi perlahan sambil memasukan parang pendek ke sarungnya yang terikat di pinggang. "Maaf kan aku Lan.. tolong la jangan beritahu orang kampung," Mamat merayu.

"Hah, tau kau malu. Habis yang kau pergi ngendap aku dengan bini aku buat bahan melancap, apa kau ingat aku tak malu? Apa kau ingat bini aku pelakon filem blue ke?" Ramlan membentak. "Kenapa lah dengan kau ni Mat, " dia berkata lagi lalu menepuk dahi. Dia merasa serba salah. Mamat adalah kawan sekampung, kawan sepermainan sejak dari kecil. Malah semasa persandingan dia dengan Rusilah dulu, Mamat lah yang jadi pengapitnya. Tak sangka jadi penghendap pula. "Huh," Ramlan mengeluh sambil menggelengkan kepala, kesal. Dia berpaling, membelakangi Mamat. Tangan kirinya mencekak pinggang dan tangan kanannya menongkat di dinding rumah, tidak berkata apa-apa.

Mamat jadi tongong, tak tahu nak cakap apa, tak tahu nak buat apa. Sekali sekala dia menggaru punggungnya yang tak gatal. Suasana menjadi tegang, dalam senyap. Agak lama mereka berdua membisu. Di dalam rumah, Rusilah yang sebenarnya sudah terjaga, mendiamkan diri. Dia yang separuh ketakutan hanya mencuri dengar apa yang berlaku dari tepi tingkap.

Buntu dengan apa tindakan yang patut dilakukan, akhirnya Ramlan bersuara,"kau balik la Mat, jangan buat macam ni lagi." Mamat yang terasa agak lega, membalas,"Lan, tolong ye, jangan.. " "Dah! jangan cakap lagi, balik!" Ramlan memotong kata Mamat, menunjukan kemarahannya. Dengan segera Mamat 'mengghaibkan' diri di dalam kegelapan malam itu.

Keesokan hari selepas mengerjakan kebun, Ramlan pergi ke warung Mail. Minum kopi semeja dengan Amran, Ramlan membuka cerita,"Malam tadi kan... " Habis, hujung ke pangkal dia cerita. Siap dengan cerita tambahan sekali. Amran ketawa berdekah-dekah.

Cerita yang memalukan itu menjadi buah mulut orang, membuatkan Mamat tidak lagi bersembang di warung Mail. Dulu, setiap petang. "Mamat yang mana?" "Alahh.. Mamat minyak masak.. siapa lagi," itulah antara sindiran yang pernah didengar oleh Mamat ketika berbasikal melalui warung Mail untuk ke kedai. Tiga minggu selepas peristiwa malam itu, Mamat tidak lagi kelihatan di kampung. Menurut ibunya, dia ke Singapura bekerja sebagai buruh binaan.

Hampir dua tahun kemudian Mamat pulang. Dengan hasil titik peluh serta simpanan yang ada, dia membeli sebuah lori kecil buruk dan memulakan perniagaan, menjadi peraih kelapa sawit. Kadangkala dia masih terdengar suara-suara sumbang dari kaki sindir di kampung, tapi Mamat tak kisah. Dia tetap menjalankan usaha dengan gigih. Pada awal perniagaan, hanya dua-tiga orang pemilik kebun kelapa sawit yang mahu menjual hasil kepadanya.

Kini, setelah hampir dua puluh lima tahun dia berniaga, Mamat mampu membekalkan ribuan tan buah kelapa sawit kepada kilang pemproses, sebulan. Lori dah banyak dan pekerjanya pun ramai. Mamat punya perniagaan besar, kereta besar, rumah besar dan keluarga besar - dua orang isteri dan sembilan orang anak.

Semua orang kenal Mamat Minyak Masak, tauke kelapa sawit. Gelarannya bersesuaian dengan produk kelapa sawit - minyak masak. Tapi tidak semua orang tahu dari mana sebenarnya datang nama itu. Orang yang tahu pun lupa sebab Mamat dah jadi orang besar. Orang yang dulunya kaki sindir pun dah jadi kaki ampu.

Ramlan sendiri telah lama melupakan perkara itu, semenjak Mamat muncul semula setelah dua tahun menghilangkan diri dari kampung. Malah, dia lah orang pertama yang menjual kelapa sawit kepada Mamat. Sokongan serta dorongan yang Ramlan berikan membuatkan Mamat berasa terhutang budi kepada Ramlan, takkan Mamat lupa sampai bila-bila, takkan Mamat mahu menyakiti hati kawan baiknya itu.

Dengar khabar Mamat nak kahwin lagi. Memang begitu kalau orang ada banyak duit, pantang lihat dahi licin, nak tambah isteri lagi. Tak boleh salahkan, dia ada duit. Duit adalah ukuran kemampuan.

- Cerita rekaan. Tiada kaitan dengan sesiapa.

Ulasan