Jerebu di Muar di paras bahaya lagi?

Lebih kurang pada pukul 6:30 pagi tadi aku keluar rumah untuk menghantar anak ku ke sekolah. Alang kah terkejutnya aku bila melihat suasana di luar bagaikan di dunia kayangan (agaknya macam tu la). Semuanya kelihatan samar-samar diselaputi 'kekelabuan' – pepokok, jalanraya dan lampu jalan juga kelihatan malap. Jerebu!! Mak aii, punya lah tebal. Menunggang motosikal pun terasa pedih mata walaupun aku bawak pelan je.

Balik dari menghantar anak ku, aku sambung membuta kat rumah. Bangun pukul 9:00 pagi, ku lihat suasana berjerebu agak berkurangan. Mungkinkah jerebu ini hanya permulaan kepada jerebu yang membawa IPU (indeks pencemar udara) di Muar ke paras bahaya? Harap-harap tidak.


API

Status

0-50Baik / Good
51-100Sederhana / Moderate
101-200Tidak Sihat / Unhealthy
201-300Sangat Tidak Sihat / Very Unhealthy
>301Berbahaya / Hazardous

Di laman web Jabatan Alam Sekitar mencatatkan bahawa IPU di Muar hari ini mencapai ke 172*, paras kuning bermakna udara tidak sihat. #Department OF Environment

- Berita berkaitan:

Selangor, Melaka, Johor diwarta kawasan larangan pembakaran terbuka

KUALA LUMPUR: Jabatan Alam Sekitar (JAS) hari ini mengisytiharkan seluruh negeri Selangor, Melaka dan Johor sebagai kawasan larangan pembakaran terbuka berkuatkuasa serta merta.

Ketua Pengarah Jabatan Alam Sekitar Datuk Halimah Hassan berkata larangan mengikut Seksyen 29AA(2) Akta Kualiti Alam Sekeliling (Pindaan) 2001 itu, berkuatkuasa sehingga ke satu tarikh yang akan diberitahu kelak.

Bagaimanapun, katanya, larangan berkenaan tidak melibatkan pembakaran mayat, pembakaran bagi tujuan keagamaan, barbeku dan pembakaran gas mudah terbakar.

"Mereka yang disabit kesalahan melakukan pembakaran terbuka boleh dikenakan denda sehingga RM500,000 atau penjara maksimum lima tahun atau kedua-duanya sekali," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Selain itu, Halimah berkata kompaun maksimum sebanyak RM2,000 juga boleh dikenakan atas setiap kesalahan.

Ketiga-tiga negeri tersebut sedang menghadapi masalah jerebu ekoran kebakaran hutan di negara jiran.

Halimah meminta orang ramai memberi kerjasama dengan menghubungi JAS di talian 03-88891972 atau 1-800-88-2727 dan Jabatan Bomba dan Penyelamat di talian 03-88880336, jika mengesan sebarang aktiviti pembakaran terbuka di kawasan mereka. - Bernama/myMetro


Kemaskini 20/06/2013:

IPU di Muar pada 11:00 pagi mencatat 383*, melebihi paras bahaya! Merah! #Department Of Environment

Sah, kejadian jerebu dengan IPU melebihi paras bahaya memenuhi ruang udara di Muar seperti yang berlaku pada bulan Oktober 2010, kini berulang lagi. Sebab pun sama – hutan terbakar ataupun hutan sengaja dibakar secara berleluasa di negara jiran.

Berikut, berita berkaitan yang menggembirakan bebudak sekolah. Horee! kata anak ku yang darjah satu:


Jerebu: 211 sekolah di Muar, Ledang ditutup

MUAR 20 Jun - Sebanyak 211 buah sekolah rendah dan menengah di daerah ini dan Ledang ditutup mulai tengah hari ini berikutan keadaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) telah mencatat bacaan 350, melebihi paras bahaya.

Pegawai Pendidikan daerah, Ahmad Othman berkata, surat pekeliling mengenai penutupan itu telah dikeluarkan kepada semua sekolah kedua-dua daerah berkenaan.

Menurutnya, sekolah berkenaan akan ditutup beberapa hari bergantung kepada perkembangan IPU semasa. - Utusan ONLINE


Kemaskini 23/06/2013:


Jalan Abdullah pada 5:00 ptg 22 Jun 2013.

- Berita:

Jerebu: PM isytihar darurat di Muar, Ledang

KUALA LUMPUR 23 Jun - Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini mengisytiharkan status darurat di Muar dan Ledang di Johor berkuat kuasa serta merta selepas bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) melebihi 750 setakat 7 pagi ini.

Perkara itu diumumkan Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar Datuk Seri G. Palanivel menerusi posting terbaharu dalam facebook beliau. - BERNAMA/Utusan ONLINE


- Lihat status bacaan IPU terkini seluruh Malaysia di Department Of Environment

Ulasan