Sabtu, 24 Ogos 2013

Kenapa kita ketawa



Terdapat sekitar 7 bilion manusia di Bumi. Kita dibezakan oleh bangsa, bahasa, ugama, stail rambut dan bermacam-macam lagi. Tapi kita punya satu persamaan – kita semua ketawa. Kenapa?

Baik, kita mula dari awal. Anda akan melihat bayi yang baru saja dilahirkan menangis serta-merta. Banyak menangis sebenarnya. Seterusnya bayi yang sama tidak mula ketawa sehingga lah berumur empat atau lima bulan (Ada juga pendapat yang menyatakan bayi boleh mengeluarkan suara ketawa berumur seawal 17 hari). Kegembiraan, suara seronok bayi ketawa terkekeh-kekeh adalah sebenarnya percubaan untuk berkomunikasi dengan ibunya. Atau mungkin dengan sekumpulan makcik-makciknya yang berbaris mengacah. Dan itu adalah pokok kepada persoalan kenapa kita ketawa – kita cuba berkomunikasi.

Haiwan primat seperti gorila atau monyet juga ketawa. Jika kita menggeletek gorila.. err, sebenarnya bukan saya mencadangkan anda menggeletek gorila. Tapi jika anda berjaya berbuat demikian tanpa menakutkan gorila, gorila akan ketawa biarpun tak sama seperti ketawa kita. Ia berkomunikasi. Kecenderungannya untuk bermain sama sebagaimana kanak-kanak.

Ini contohnya: monyet ketawa



Yang sebenarnya sebagai kanak-kanak, berumur diantara lima hingga enam tahun, ketika itu lah kita paling banyak ketawa – 300 hingga 400 kali sehari berbanding orang dewasa yang hanya sekitar 20 kali sehari. Ini adalah kerana segalanya baru, segalanya menarik, segalanya menggelikan hati dan lucu. Apabila umur kita meningkat kita mula menjadi sinis, merasakan marah dan keciwa. Ketawa kita pun berkurangan.

Di usia dewasa ketawa digunakan sebagai perekat sosial. Jika anda melihat sitkom kegemaran anda seorang diri, bila mendapati ia lucu anda mungkin terbahak sedikit. Tapi jika anda melihatnya bersama orang lain anda akan dapati ketawa tu berjangkit, hampir sama seperti bila kita menguap, orang lain bosan. Ketawa berterusan yang anda kongsi menunjukkan di dalam situasi bersosial anda akan ketawa 30 kali lebih dari jika anda seorang diri. Malah gas ketawa menjadi lebih berkesan jika anda berkongsi bersama orang lain.

Apa yang sebenarnya membuat kita ketawa bergantung kepada tahap humor dan citarasa komedi masing-masing. Adapun kadangkala kebanyakkan orang dewasa ketawa ke atas perkara yang bukan lucu. Kajian yang dilakukan oleh pengkaji sains ketawa, ahli gelotologi, dalam jangkamasa 10 tahun di pusat membeli-belah di Amerikat Syarikat telah mencuri dengar 1,200 orang ketawa. Kebanyakkan ketawa, mereka dapati, mengikuti kenyataan yang tidak humor dan bukan bahan lawak. Ketawa demikian menjadi satu bentuk titik tanda percakapan di akhir perkataan. Ia adalah satu cara orang menjalin ikatan perhubungan. Mungkin sekadar ketawa ramah: "Hei Mat! Lama tak jumpa.. hehehe"

Bagaimanapun, ada juga ketawa yang boleh menyakitkan hati orang lain iaitu ketawa mengejek yang sengaja dibuat-buat. Jangan lah kita buat. Ketawa adalah reaksi luar kawal atau 'involuntary reaction', ongputih kata. Jadi, kelihatan amat janggal kalau kita buat-buat ketawa (kecuali lah jika anda seorang pelakon serba boleh).

Ketawa yang tulen mampu merangsang otak kita melepaskan endorphins dan dopamine, kimia yang membuat kita rasa selesa. Kimia-kimia ini mempunyai kesan yang berfaedah. Ia mampu menurunkan tekanan darah dan melepaskan tekanan perasaan. Ketawa juga membantu perkembangan sel-sel yang menghasilkan antibodi dan meningkatkan keberkesanan sel-T, yang membawa kepada sistem imun yang lebih kuat.

Biasanya setelah kita ketawa berdekah-dekah di panggung wayang atau semasa berborak bersama kawan-kawan, kita akan merasa agak letih. Ini memang sepatutnya berlaku kerana ketawa seolah-olah melakukan satu senaman. Otot-otot di muka menegang. Begitu juga di belakang, di perut dan di kaki. Ia juga melibatkan sistem pernafasan. Satu kajian mendapati 100 kali kita ketawa sama dengan 15 minit kita mengayuh basikal senaman.

=
Mana kah yang anda pilih untuk senaman, ketawa ke pergi kayuh basikal?

Ketawa bukan hanya satu perkara lucu. Ada juga fenomena dan pandangan negatif tentangnya (kalau ketawa di tempat yang tak sesuai memang le tak patut). Ketawa yang berlebihan boleh membawa kepada cataplexy, bahan ketawa yang tidak menyenangkan, kegembiraan yang berlebihan dan sawan ketawa. Semua ini boleh dianggap sebagai aspek-aspek negatif ketawa. Ada yang percaya bahawa ketawa mewakili satu bentuk epilepsi.

Pemikir terkenal zaman Yunani, Aristotle dan Plato berpendapat kuasa ketawa boleh melemahkan pihak berkuasa. Mereka juga percaya ianya boleh menumbangkan negara.

- Di mana saja ada orang yang lucu bercakap lucu, orang yang tak lucu bercakap lucu, orang yang lucu bercakap tak lucu ataupun ada orang yang serius je, tak lucu bercakap tak lucu. Biar apapun, ada kalanya memang susah kita nak ketawa.

Ketawa kita? Hahahaha
Fakta dipetik di Wikipedia, Youtube dan beberapa laman web lain.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan