Rabu, 25 Julai 2012

Cabut gigi

Suasana di kaunter Klinik
Kesihatan Pergigian Bandar Maharani
Lebih kurang pukul 8.00 pagi aku dah berada di kaunter Klinik Kesihatan Pergigian Bandar Maharani, terletak di tingkat atas di bangunan yang sama dengan Poliklinik Kesihatan Bandar Maharani Muar. Gigi ku terasa berdenyut-denyut lagi.

Setelah mendaftar (bayaran pendaftaran singgit je), aku pun duduk menunggu di kerusi yang disediakan. Tak sampai lima belas minit, nombor giliran ku siap dengan nama sekali terpampang di skrin giliran. Aku segera masuk ke bilik rawatan (bilik surgeri no. 3).

Poliklinik Kesihatan Bandar Maharani Muar.
Gambar dari ppmuar.moh.gov.my
Masuk saja, misi tanya,"Encik nak buat rawatan apa?"

"Nak cabut gigi", aku jawab.

"Ok encik duduk dulu", kata misi comel tu sambil menunjukkan kerusi yang sekali pandang macam kerusi gunting rambut kat bandar. Aku pun duduk bersandar di atas kerusi yang sedia condong ke belakang itu.

Di atas sebelah depan ada lampu. Di sebelah kiri kerusi ada sinki mini dan paip kecil siap ada cawan. Kemudian tu ada pula meja kecil dipenuhi peralatan untuk membuat rawatan gigi.

Doktor yang tadinya aku lihat sedang menulis, menghampiri ku lalu bertanya,"Cabut gigi?" Aku mengiakan. "Yang mana mau cabut?" dia bertanya lagi. Aku menganga lalu menunjukkan gigi ku yang sakit, gigi berlubang yang di belakang gigi taring kiri sebelah atas.

Doktor wanita India itu kemudian mengambil satu alat seperti sudu bengkok bercermin dan satu alat lain. Diperiksanya gigi ku satu persatu. Aku dengar dia menyebut beberapa perkataan tentang gigi ku kepada misi dalam bahasa ongputih. Untuk direkodkan barangkali.

Yang aku ingat dia sebut dua angka kemudian dia sebut 'missing'. Beberapa kali dia sebut perkataan tu. Betul le tu. Lima batang gigi ku, dua geraham bawah dan tiga depan atas memang dah 'missing', dah gongak. Pakai gigi palsu tapi dah aku lucut simpan dalam kocek seluar sebelum masuk bilik rawatan tadi.

Lepas tu doktor mengetuk gigi yang aku minta dicabut dengan alat yang dipegangnya. Sakit! Tapi aku tahan, buat tak tau. Dia tanya,"Ada sakit?"

"T..haak", aku dengan mulut yang masih ternganga berbohong sebab aku tau seorang doktor gigi tak akan mencabut gigi kita yang sedang sakit terutama bila gusi turut bengkak. Aku pernah mengalaminya semasa aku mau mencabut gigi geraham ku yang sakit sekitar lima tahun yang lalu. Bila aku kata sakit, doktor suruh aku makan ubat dulu dan meminta aku datang lagi untuk mencabut gigi setelah ianya tak sakit dan gusi tak lagi bengkak.

Tapi aku degil sebab aku tak tahan beno rasa sakitnya. Keluar saja dari klinik tu, aku terus ke klink swasta di bandar. Serupa juga. Doktor klinik swasta tu menasihatkan aku agar gigi tidak dicabut tapi aku terus mendesak. Aku kata aku sanggup tanggung risiko sendiri dan tak akan menyalahkan sesiapa. Apa lagi, dia pun cabut. Phh.. dua malam aku terseksa pulak dek sakit gusi yang amat sangat (gigi dah cabut!). Darah masih keluar walaupun sedikit. Malam ketiga darah baru mulai kering dan sakit mulai reda. Gitu-gini seminggu juga baru aku benar pulih dari kesakitan itu.

Betul lah kata doktor. Gigi yang sedang kuat sakit sehingga gusi bengkak tak boleh dicabut. Banyak risiko.

Berbalik kepada kes aku yang sekarang ni, berbeza. Gusi ku tak bengkak. Sakit tu tolak tepi dulu.

Jeng♩ jeng♫jeng
Saat yang mencemaskan.
Doktor pun tak banyak bersoal jawab dengan ku. Dia mengambil jarum suntik ('picagari' kalau ikut kamus) yang telah berisi ubat bius, mendongakkannya ke atas dan dipicit untuk membuang angin. Lalu dua suntikan diberi ke gusi ku.

"Mak nyuss!" sepatah kata adik ipar aku membayangkan kesakitan menerima suntikan. Macam tu la yang aku rasa. Lepas tu misi meminta aku menunggu di luar bilik rawatan.

Duduk saja di luar, gusi mula terasa kebas, bibir terasa kebas dan pipi kiri ku macam dah hilang! Dua tiga kali aku usap-usap pipi ku.

Tak lama kemudian nombor giliran ku naik lagi. Aku masuk semula ke bilik rawatan dan gigi ku dicabut. Kejap je dan takda pun rasa sakit. Maka takda la lagi bab rasa saspen cabut gigi hari ni.

Keluar dari bilik rawatan, aku ke kaunter untuk membuat bayaran cabut gigi. Berapa harganya untuk cabut sebatang gigi? Murah je.. singgit. Tengok lah, berapa punya murah. Macam tu pun ada orang yang tak tau berterima kasih di atas kemudahan-kemudahan yang kerajaan berikan. Amande le.

Pukul 10.00 pagi, aku sudah berada di rumah, terbongkang di kerusi depan. Ngantuk, malam tadi langsung tak tidur. Kapas yang ku gigit untuk menahan darah dah dua kali tukar. Sakit (sakit sikit je) mula terasa kerana kesan ubat bius mulai hilang. Makan ubat penahan sakit dua biji.

Petang, darah dah tak keluar. Dah mula kering. Dan malam ni.. tiada lagi rasa sakit! Tamat lah riwayat kesakitan gigi yang ku alami selama hampir seminggu.

Puasa? Tak le, hari ni je sebab bila dah makan ubat, dah nak kena milo ais, campur aku kebas tiga empat keping kuih yang untuk berbuka puasa. Tapi aku rahsiakan dari anak ku yang pra-sekolah tu. Takut dia pun ikut ponteng. Nanti dia kata, "Ayah tuu!" Dah, susah aku nak jawab.

Kemaskini 28 Julai 2012:

Gusi bekas cabut gigi belum sembuh sepenuhnya. Tadi keluar darah lagi terkena keropok.

Tu le, gelojoh beno berbuka. Orang lain puasa juga. (Ni aku kata diri aku sendiri. Jangan ada yang terasa pulak)

Tiada ulasan:

Catat Ulasan