IPU di Muar di paras bahaya?

Pada mulanya aku tak tahu apa itu IPU (indeks pencemaran udara), dah gugel baru tahu.

Siang tadi kemana saja ku pergi kelihatan berjerebu. Suasana redup tapi terasa rimas.

Apakah yang menyebabkan jerebu memenuhi ruang udara di sekitar bandar Muar? (di tempat-tempat lain juga?) Adakah disebabkan pembakaran hutan di Sumatera seperti yang pernah berlaku dulu? Atau disebabkan oleh kilang-kilang yang semakin banyak di sini? Ehh.. banyak pertanyaan berteka pulak.


Gambar ini ku ambil di Parit Bakar lebih-kurang pukul 1:30 ptg
tapi kelihatan seperti masih pagi.

Dataran Muar pukul 4:30 ptg.

Update 19/10/10:

Hari ini jerebu tidak berkurangan, malah bertambah teruk. Ku lihat ada sesetengah penunggang motosikal memakai mask tutup hidung, mulut. Tadi petang aku isi minyak kereta, atendan pam minyak Petronas di Jalan Haji Kosai tu pun dah pakai mask. Sah, udara di Muar telah berada dalam tahap yang membimbangkan orang ramai.

Aku lihat di laman web Jabatan Alam Sekitar, agak terkejut bila mendapati Muar mencatat bacaan IPU tertinggi di Malaysia pada hari ini iaitu 162*.

Nota:

* = Habuk Halus       c = Ozon       a = Sulfur Dioksida       d = Karbon Monoksida   
b = Nitrogen Dioksida       & = Lebih daripada satu pencemar

Sandakan, Sabah mencatat bacaan terendah pada sebelah petang iaitu 27*, berada dalam status sederhana. Muar (162*) berada dalam status tidak sihat.

Harap-harap hujan turun biar jerebu berkurangan. Sekiranya jerebu semakin bertambah dan IPU sampai ke status membahayakan, terpaksalah kita orang Muar pakat ramai-ramai pindah ke Sabah.. he he he.. gurau je. Keadaan akan pulih, insyaallah.

0-50 = Baik     51-100 = Sederhana     101-200 = Tidak sihat     201-300 = Sangat tidak sihat
>300 = Berbahaya
#http://www.doe.gov.my/apims/index.php?gmap=load&date=2010-10-19

Update 20/10/10:

Bacaan IPU bagi Muar di laman web JAS hari ini, 432*!! pada 11.00 pagi.
#http://www.doe.gov.my/apims/index.php?gmap=load&date=2010-10-20 

Wah.. status berbahaya! Cuma aku heran, dalam perjalanan ku ke bengkel di Bakri, kemudian ke kilang di Pt. Bakar dan pulang sekitar pukul 5.30 ptg, ku lihat cuaca agak cerah, kurang berjerebu berbanding semalam - tapi bacaan IPU jauh lebih tinggi! Kat mana pulak JAS ambil sample udara? Silap tak..

Atau mungkin ada kawasan-kawasan lain di daerah Muar yang terjejas teruk dek jerebu melebihi dari di Bakri.

Peta Daerah Muar dari laman web JKR.

Update lagi hari ini:

Berita yang baru ku jumpa dari Bernama/Hmetro ;

MUAR: Bilik gerakan jerebu dibuka di daerah ini berikutan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) di sekitar kawasan itu mencatat bacaan 432 iaitu mencapai tahap berbahaya.

Pegawai Daerah Muar, Mislan Karmani yang juga Pengerusi Jawatankuasa Bencana Muar berkata, jawatankuasa yang turut dianggotai Jabatan Alam Sekitar (JAS) dan Jabatan Kesihatan itu akan menyelaras tindakan yang perlu dibuat mengikut pelan tindakan yang ditetapkan bergantung kepada situasi semasa.

"Catatan IPU pada tengah hari ialah 432. Kami akan memantau keadaan kualiti udara dan bacaan IPU setiap jam," katanya ketika dihubungi.

Beliau berkata, orang ramai dinasihat memakai topeng penutup mulut ketika berada di luar rumah atau bangunan bagi mengelak mengalami masalah kesihatan.

Pengarah Pelajaran Johor, Sufaat Tumin berkata, pihaknya akur dengan nasihat Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang juga Menteri Pelajaran agar pentadbiran sekolah di daerah ini menutup sementara sesi persekolahan berikutan keadaan jerebu yang berada pada tahap bahaya.

Sufaat berkata, pihaknya akan menghubungi Pengetua dan Guru Besar malam ini bagi memastikan mereka mematuhi arahan Menteri Pelajaran berhubung penutupan sekolah.

"Kita juga akan bekerjasama rapat dengan Jabatan Alam Sekitar, Pejabat Daerah, Jabatan Kesihatan, Jawatankuasa Bencana Daerah bagi memantau keadaan terkini di Muar," katanya.

Beliau berkata, ketika ini hanya ada satu pusat peperiksaan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) di Muar tetapi keputusan sama ada untuk meneruskan peperiksaan itu esok bergantung kepada Lembaga Peperiksaan Malaysia.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita dan Keluarga, Kebajikan Masyarakat dan Kesihatan negeri Dr Robia Kosai berkata belum ada laporan penyakit berkaitan jerebu diterima pihaknya setakat ini.

"Keadaan masih terkawal. Kami menasihatkan orang ramai terutama yang menghidap penyakit berkaitan paru-paru seperti lelah supaya tidak keluar dari rumah ataupun memakai topeng muka bagi mengelak terdedah kepada habuk," katanya.

Robia berkata, buat masa ini pihak sekolah tidak digalak mengadakan aktiviti di luar bangunan.

Pengerusi Persatuan Nelayan Melayu Parit Jawa, Zainal Abdul Jalil pula berkata sebuah bot nelayan hampir berlanggar dengan kapal dagang apabila tidak dapat mengesan kehadiran kapal berkenaan disebabkan jarak penglihatan yang terhad.

"Kebanyakan nelayan menggunakan GPS (peranti sistem kedudukan global) bagi membolehkan mereka pulang ke pangkalan dengan selamat tetapi apa yang membimbangkan ialah kemungkinan berlaku perlanggaran dengan kapal lain berikutan jarak penglihatan pada masa ini kurang dari 50 meter.

"Sehubungan itu bagi mengelak kejadian tidak diingini, pihak persatuan menasihatkan nelayan supaya tidak turun ke laut ketika jerebu teruk," katanya.


#Malaysiakini.

Update 21/10/10:

Hujan turun pada pagi tadi menyebabkan jerebu banyak berkurangan hari ini. Berita baik, bacaan IPU telah menurun iaitu 77* pada sebelah petang.
#http://www.doe.gov.my/apims/index.phpgmap=load&date=2010-10-21

Update 22/10/10:

Hari ini Muar mencatatkan bacaan IPU yang menurun lagi iaitu 69* pada sebelah petang. Larkin Lama dan Pasir Gudang berkongsi catatan tertinggi pada sebelah petang iaitu 110*.

Ini bermakna sekiranya tiada lagi punca utama jerebu (pembakaran hutan di Sumatera) yang sampai ke sini, IPU di Muar akan kembali ke paras normal (ewaah.. aku macam tahu je).

Berita berkaitan;

SINGAPURA: Kebakaran akibat pembersihan hutan secara haram di pulau Sumatera, Indonesia menyebabkan jerebu merentasi Selat Melaka hingga ke negara jiran Malaysia dan Singapura, menyebabkan pencemaran udara terburuk sejak 2006.

Jerebu terbaru memaksa Malaysia mengeluarkan arahan berjaga-jaga kepada kapal di perairan Selat Melaka berikutan jarak penglihatan yang buruk hanya sejauh dua batu nautika selain menyebabkan sekolah terpaksa ditutup.

Singapura turut dilanda jerebu minggu ini menyaksikan peningkatan pada indeks standard pencemaran yang dicatatkan setiap tiga jam kepada kadar tidak sihat iaitu 108 pada jam 6 petang semalam, lebih tinggi berbanding 80 yang dicatatkan Rabu lalu tahap yang disifatkan terburuk sejak 2006.

Semua pelabuhan dan lapangan terbang antarabangsa masih lagi beroperasi seperti biasa.

“Ia disyaki datangnya dari hutan yang dibuka untuk pertanian. Kami berpendapat ia mungkin bagi tujuan penanaman kelapa sawit,” kata Purwasto Saroprayogi, ketua jabatan kebakaran hutan dan tanah di Kementerian Alam Sekitar Indonesia kepada Reuters.

Saroprayogi berkata jerebu terbabit berpunca dari kebakaran untuk tujuan pembersihan tanah secara haram di Dumai dan Bengkalis di wilayah Riau iaitu di utara pulau Sumatera. Indonesia sejak sekian lama mempunyai sejarah lemah dalam penguatkuasaan undang-undang perhutanan selain pembersihan hutan secara haram untuk pembangunan kelapa sawit yang bukan lagi sesuatu luar biasa.

Jerebu kembali melanda rantau ini kurang seminggu selepas menteri alam sekitar di Asia Tenggara bertemu di Brunei untuk membincangkan mengenai kebakaran hutan dan tanah yang dibangkitkan di kalangan negara jiran.

“Ini bukan kali pertama kami memaklumkan Indonesia bahawa mereka perlu berikan perhatian kepada kawasan panas di Sumatera dan Borneo,” kata Menteri Alam Sekitar Singapura, Yaacob Ibrahim kepada pemberita kelmarin. – Reuters/Bharian

Ulasan