33 pelombong Chile berjaya diselamatkan

LOMBONG SAN JOSE, Chile: Sorakan, teriakan dan tangisan gembira anggota keluarga memenuhi suasana ketika seorang demi seorang daripada 33 pelombong Chile diselamatkan dan dibawa keluar menggunakan lif khas, sejak mereka terperangkap kira-kira 600 meter di bawah lombong yang runtuh sejak lebih dua bulan lalu.

Pelombong pertama berjaya dibawa keluar ialah Florencio Avalos yang memakai topi keselamatan dan berkaca mata hitam bagi melindungi pandangannya daripada sinaran matahari.

Dia tersenyum lebar sebaik keluar, memeluk anak lelakinya, Bairon, 7 dan isterinya sebelum menerima pelukan Presiden Chile, Sebastian Pinera, sejurus selepas tengah malam waktu tempatan.

Pelombong kedua, Mario Sepuldeva Espina, ditarik ke permukaan kira-kira sejam kemudian. Laungannya dapat didengar walaupun sebelum sebuah lif yang direka khas yang membawanya muncul. Selepas memeluk isterinya, dia menghulurkan batu yang dibawanya dari ‘penjara bawah tanah’ sebagai cenderahati kepada penyelamat yang ketawa dengan gelagatnya.

Dia kemudian membuat senaman melompat di hadapan semua orang untuk membuktikan dirinya masih kuat sebelum pasukan perubatan tiba untuk membawanya menjalani pemeriksaan.

“Saya benar-benar bernasib baik. Tuhan bersama saya,” katanya dalam satu temuramah khas, sambil memuji operasi yang dijalankan. “Sungguh hebat kerana mereka berjaya menyelamatkan dan membawa kami keluar dari kedalaman 700 meter bawah tanah,” katanya.

Pelombong ketiga, Juan lllanes, menyusul sejam kemudian, mengikut jadual yang diumumkan sebelumnya bahawa semua pelombong akan dikeluarkan dalam tempoh 36 jam dengan seorang pelombong dikeluarkan setiap sejam.

Dia disusuli pelombong tunggal dari Bolivia, Carlos Mamani, manakala pelombong termuda, Jimmy Sanchez menjadi pelombong kelima dibawa keluar. Dia diletakkan di atas usungan sejurus dikeluarkan. Pelombong Osman Isidro Araya pula menjadi orang keenam dibawa keluar.

Apabila pelombong terakhir berjaya dikeluarkan, berakhir lah satu krisis negara itu yang bermula apabila berlaku tanah batu runtuh di dalam lombong pada 5 Ogos lalu menyebabkan mereka terperangkap di bawah tanah yang terletak di kawasan gurun Chile.

Penyelaras operasi menyelamat, Andre Sougarett berkata operasi dipantau rapi bagi memastikan tiada masalah teknikal berlaku, termasuk kemungkinan berlaku runtuhan semula, manakala lif diperiksa dan disenggara selepas setiap pelombong berjaya dikeluarkan.

Kumpulan pelombong berkenaan yang cekal dan bersatu hati, menarik perhatian dunia, sementara kerajaan Chile berusaha menyelamatkan mereka. – AP

Luis Urzua adalah orang terakhir dinaikkan setelah terperangkap di bawah tanah selama hampir 10 minggu. #CNN.
Para pelombong bergambar bersama presiden Chile, Sebastian Pinera, di Hospital Copiapo selepas pemeriksaan kesihatan.

Ada kisah lain di sebalik peristiwa:


Catatan profil pelombong ini di Guardian, "No.21: Yonni Barrios Rojas. Age 50. Role: doctor. He is greeted by either his wife or his girlfriend – we aren't sure which." (?!) Menurut cerita, rahsia Yonni Barrios memiliki kekasih lain telah diketahui oleh isterinya kerana wanita itu turut hadir di tapak operasi, menunggu lelaki yang sama.


Setelah mengetahui suaminya main kayu tiga, Marta Salinas, 58, tidak muncul untuk menyambut Yonni Barrios yang selamat naik ke permukaan dari bawah tanah. Susana Valenzuela, 52, setia menunggu, sambil membawa poster kekasihnya pada hari sebelum pelombong-pelombong yang terperangkap dinaikkan.

Kartun dari Mail Online

Ulasan